Pasukan tumpuan Kejohanan Badminton Remaja Astro (AJC) Bawah 15 Tahun 2018, BAM-Astro Kasih, bangkit daripada permulaan langkah kiri untuk ke suku akhir.

Skuad BAM-Astro Kasih ditunjangi pemain daripada skuad remaja kebangsaan.

Aksi kumpulan pertama menyaksikan mereka tumbang 3-2 kepada wakil Indonesia, Sekolah Sukan Ragunan.

Beraksi di bawah tekanan tinggi, mereka bangkit pada hari kedua untuk menundukkan wakil Vietnam, Ho Chi Minh City, 5-0.

"Jika diikutkan, lawan semalam, iaitu Ragunan, merupakan pasukan paling kuat, jadi kami bertemu mereka dalam aksi awal. Mungkin pemain-pemain belum dapat menyesuaikan diri.

"Hari ini sememangnya kami perlu menang," kata pengurus BAM-Astro Kasih, Hafiz Hashim.

Ujian getir menanti wakil Walaysia itu apabila bakal berentap dengan pilihan kejuaraan dan juga taruhan utama kontinjen Indonesia.

"Ada tiga pasukan yang dihantar oleh Indonesia dan semuanya skuad yang ampuh. Mungkin perlu mengharapkan permainan terbaik daripada perseorangan lelaki, beregu lelaki serta beregu campuran untuk meraih tiga kemenangan," tambahnya.