Kejohanan Badminton Remaja Astro Bawah (AJC) Bawah 15 Tahun 2018 menyaksikan wakil Indonesia, Exist, menumbangkan pasukan China, Anhui Soyu, 3-1 dalam perlawanan akhir untuk dinobatkan juara sulung saingan itu.

Exist, kelab yang berasal dari Jawa Barat, Indonesia, diberikan tentangan sengit oleh Anhui Soyu dalam aksi di Stadium Juara, Bukit Kiara, hari ini.

Dalam perlawanan pembukaan yang menampilkan beregu campuran, Muhammad Ridhwanul Arifin-Siti Sarah Azzahra mudah mengetepikan Huang Zhi Yong-Wang Yilin 21-17, 21-16.

Anhui Soyu kembali menyamakan kedudukan 1-1 menerusi perseorangan lelaki, Dong Tianyao, yang menundukkan Iqbal Diaz Saputra 21-16, 21-16.

Irgi Aprilla Hizkia kembali meniupkan moral Exist untuk menghadiahkan mata kedua dalam acara perseorangan wanita dengan menewaskan Ruan Xin Yue 21-19, 21-19.

Seterusnya dalam acara beregu lelaki, Hendrawan-Muhammad Ridhwanul Ariffin mencetuskan debar apabila diheret beraksi sehingga tiga set sebelum menoktahkan kejayaan buat Exist dengan kemenangan 21-23, 22-20, 21-19 ke atas Liu Yang-Liu Yi.

"Alhamdulillah, saya dapat mengharumkan nama Exist dan Indonesia," kata Hendrawan.

Ketua jurulatih Exist, Menarki Sugito, pula gembira penampilan pertama mereka dalam kancah ini berakhir dengan kejayaan.

"Saya sangat bangga kerana kami diundang untuk menyertai kejohanan ini buat kali pertama dan berjaya muncul sebagai pasukan terbaik di peringkat umur sebegini," katanya.

Dalam masa sama, Naib Presiden Bahagian Perniagaan Sukan Astro, Lee Choong Khay, berkata: "Kami berbangga kerana dapat menyediakan platform buat pemain muda dalam merintis laluan bergelar juara dunia.

"Secara keseluruhan, kami gembira atas kejayaan penganjuran kejohanan ini."