Perseorangan badminton lelaki remaja negara, Aidil Sholeh Ali Sadikin, mahu membalas kepercayaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan beraksi cemerlang setelah diberikan peluang untuk mewakili negara dalam Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Kanada, bermula minggu depan.

Kejayaannya dalam Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 melonjakkan namanya untuk tersenarai ke Kejohanan Dunia sambil mengetepikan juara remaja Asia, Leong Jun Hao, dalam senarai pemilihan.

Berbanding 11 rakan sepasukan di bawah naungan badan induk itu, Aidil merupakan bakat kelolaan Akademi Badminton Sports Affair yang dikendalikan bekas perseorangan negara, Rashid Sidek.

Sejak namanya diumumkan pada 21 September lalu, dia banyak mendapatkan bimbingan Rashid selain turut mengadakan sesi latihan bersama pemain perseorangan profesional, Liew Darren.

"Rashid lebih menumpukan kepada latihan dalam gelanggang.

"Dia menasihatkan saya supaya tidak takut berdepan cabaran dan memberikan aksi terbaik," katanya.

Selain Aidil, seorang lagi sandaran negara merupakan perseorangan wanita, Goh Jin Wei, yang bakal membuat penampilan terakhirnya dalam kejohanan itu.

"Saya hanya mempunyai tempoh dua minggu sejak Sukan Olimpik Remaja lalu.

"Saya hanya menumpukan kepada proses pemulihan dan memperbaiki kelemahan berdasarkan analisis video," kata Jin Wei.

Acara berpasukan campuran yang turut dikenali sebagai Piala Suhadinata akan membuka tirai terlebih dahulu sebelum acara individu bermula pada 12 November.