Beregu lelaki meningkat naik negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, seakan-akan tidak terkesan dengan krisis prestasi skuad itu apabila menempatkan diri dalam kelompok 25 beregu terbaik dunia.

Aaron dan Wooi Yik kini berada di kedudukan ke-23 dunia, memintas pasangan Teo Ee Yi dan Ong Yew Sin di kedudukan kedua terbaik Malaysia.

Ini adalah hasil daripada aksi konsisten dalam empat saingan terdahulu bermula dengan Kejohanan Dunia yang berlangsung hujung Julai lalu.

Mereka tersingkir dalam aksi suku akhir untuk setiap empat kejohanan tetapi kepada lawan berstatus pilihan dan menerusi kekalahan tipis.

Ini perkongsian daripada Aaron terhadap prestasi semasa mereka dan aspirasi yang dibawa untuk terus mencabar pemain elit dunia: "Kami sememangnya berjaya meraih keputusan yang luar biasa sebelum ini, namun kami jangkakan kami mampu mencatat keputusan lebih baik.

"Selepas Kejohanan Dunia lalu, saya harapkan kami mampu melepasi peringkat suku akhir.

"Mungkin kami kekurangan kekuatan mental walaupun kami tidak lagi gentar berdepan pemain-pemain lain.

"Untuk kelayakan ke Sukan Olimpik 2020, kami sememangnya menyasarkan kelayakan tersebut, jadi kami perlu berada dalam kelompok 15 terbaik dunia. Saya yakin mampu melakukannya memandangkan masih banyak kejohanan untuk kami mengumpul mata," tambahnya.