Kurang 24 jam selepas menamatkan kemarau 16 tahun pingat emas acara beregu lelaki dalam saingan Sukan SEA, gandingan badminton negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, kini dalam perjalanan ke Guangzhou, China bagi menghadapi saingan Akhir Jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Mereka diundi dalam Kumpulan B dalam kejohanan itu di samping dua beregu Taiwan serta juara dunia dari Indonesia, Hendra Setiawan dan Muhammad Ahsan.

Kejayaan Aaron-Wooi Yik memenangi pingat emas Sukan SEA Ke-30 bermakna terpadamlah penantian Malaysia untuk mengungguli acara itu sejak kali terakhir dilakukan oleh Choong Tan Fook dan Lee Wan Wah pada 2003.

Bagi Aaron dan Wooi Yik, kejayaan itu hadir tepat pada waktunya bukan sahaja menjelang final Jelajah BWF tetapi pada tahun kedua mereka digandingkan bersama.

Percaya atau tidak, ini merupakan kejuaraan pertama dalam kerjaya Aaron dan Wooi Yik selepas himpunan keputusan sebagai naib juara, termasuk Seluruh England 2019.

Meskipun terkesan dengan jadual padat dalam misi mengejar kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 serta mengharungi kempen Sukan SEA, gandingan itu menegaskan mereka ke Guangzhou untuk mencabar kejuaraan.

"Kemenangan pingat emas ini memberikan motivasi untuk kami dan mengetepikan kepenatan bagi mencabar kejuaraan di Guangzhou," kata Aaron.

"Melihat kepada undian dalam Kumpulan B, peluang itu ada dan kami perlu menggunakannya sebaik mungkin."

"Ini merupakan momentum yang baik buat kami dalam saingan Sukan SEA dan kami mahu meneruskannya. Kami akan cuba mara sejauh mungkin dalam saingan Akhir Jelajah BWF," kata Wooi Yik.