Pemain beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia, menyifatkan prosedur operasi standard (SOP) yang diterapkan dalam penganjuran Terbuka Denmark minggu lalu masih banyak kelompongan.

Pemain dari Melaka berumur 23 tahun itu mengakui kepada wakil Astro Arena, Shahrazad Sani, tentang beberapa perincian yang wajar diambil kira Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menjelang Jelajah Terbuka Asia di Thailand, Januari depan.

"Saya nampak beberapa pegawai perlawanan yang tidak memakai pelitup muka, malah terpampang jelas di kaca televisyen bahawa penonton di stadium juga langsung tidak memakainya selain duduk bersesak-sesak," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sehubungan itu, Aaron, yang memenangi pingat perak dalam Kejohanan Berpasukan Asia di samping Soh Wooi Yik, lebih rela sekiranya beraksi tanpa penyokong.

"Saya memang tidak selesa (dengan kehadiran penyokong), saya rasa semua pemain pun begitu. Kes di Malaysia masih meningkat jadi semua orang berasa takut.

"Yang penting pemain dapat menyertai kejohanan.

"Kehadiran penyokong bukan faktor penting buat masa ini," katanya lagi.

Sementara itu, Kejohanan Remaja Dunia di New Zealand dibatalkan tuan rumah ekoran ketidaktentuan krisis COVID-19.