Dalam meraikan kemungkinan kekal sebagai pemain nombor satu dunia sehingga penghujung musim 2016, Datuk Lee Chong Wei tetap bersimpati dengan kemerosotan prestasi ratu skuasy negara, Datuk Nicol David.

Perbandingan akan menyaksikan bagaimana 2016 menawarkan tuah berbeza buat Chong Wei dan Nicol.

Selepas kehilangan takhta nombor satu dunia susulan skandal doping pada 2015, Chong Wei kembali menjadi yang terbaik dalam kalangan pemain badminton elit, Jun lalu.

Selain itu, dia melakar sejarah melayakkan diri ke pentas final Sukan Olimpik buat kali ketiga berturut-turut ketika tewas di tangan Chen Long dalam temasya itu di Rio.

“Saya menyedari saya telah tewas kepada Chen Long dalam final Olimpik tetapi saya boleh mendapatkan ranking nombor satu dunia.

"Saya telah berjaya bangkit selepas digantung selama lapan bulan kerana isu doping. Ada kata-kata yang berunsur positif dan negatif tetapi saya tidak kisah apa yang dikatakan. Apa yang penting adalah prestasi saya,” kata Chong Wei.

Bagaimanapun, Nicol pula berdepan belenggu bukan sahaja kehilangan ranking nombor satu dunia pada penghujung musim lalu, malah 2016 menjadi musim suram Nicol apabila masih belum berupaya memenangi sebarang kejuaraan.

Hanya seorang ikon sebenar mengenali jiwa dan hati seorang ikon, dengan Chong Wei mengetahui masih ada semangat yang membakar untuk Nicol kembali bangkit.

“Mungkin Nicol mengharungi saat yang paling sukar dalam kerjayanya. Ini adalah perkara yang biasa dalam sukan. Saya berharap Nicol akan sentiasa kuat dan terus berusaha.”