Sebelas muka baru daripada skuad Kejohanan Remaja Dunia melaporkan diri buat kali pertama di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, hari ini.

Mereka menyimpan impian besar untuk merebut peluang menyambung legasi negara dalam menjadi pemain terbaik dunia.

Hari pertama itu menyaksikan latihan kecergasan dikendalikan oleh Institut Sukan Negara (ISN) sebelum kesemua pemain dibahagi berdasarkan kebolehan masing-masing untuk berlatih bersama barisan pemain negara yang lain.

Mereka akan menjalani tempoh percubaan selama tiga bulan sehingga Februari depan.

Jika berjaya, mereka bakal diserap menjadi sebahagian daripada skuad senior kebangsaan dan akan dihantar menyertai kejohanan peringkat rendah seperti Siri Antarabangsa dan Cabaran Antarabangsa Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Hanya Goh Jin Wei dan pasangan beregu wanita, Pearly Tan-Toh Ee Wei, sudah memastikan tempat dalam skuad senior kebangsaan.

Daripada 11 pemain yang melaporkan diri, hanya seorang daripada Kelab Badminton Sport Affairs, iaitu Aidil Sholeh Sadikin, manakala selebihnya merupakan pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

"Saya tidak merasai sebarang cabaran setakat ini, mungkin disebabkan belum berlatih di bawah ketua jurulatih, Datuk Misbun Sidek.

"Saya menjangkakan latihan yang lebih keras selepas ini," kata Aidil.