Atlet lontar peluru negara, Ziyad Zulkefli, percaya dia harus lebih peka dalam mengawal emosi selepas faktor itu menjadi punca yang menggagalkannya menepati sasaran untuk memecah rekod kebangsaan dalam saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, baru baru ini.

Ziyad sedar dia mampu menghadiahkan kejayaan lebih besar dalam penyertaan pertamanya dalam Sukan SEA, namun sekadar membutirkan pingat gangsa buat negara.

Ternyata aksi di laman sendiri banyak memainkan peranan dan dia yang berhadapan pengalaman pertama beraksi di hadapan keluarga serta rakan-rakan jelas gagal mengawal situasi itu sehingga memberi kesan kepadanya ketika beraksi.

Namun, dia bertekad akan lebih bersedia apabila beraksi dalam Sukan Para ASEAN yang bermula 17 September ini.

"Sebenarnya elemen itu sepatutnya mampu menambah semangat tetapi saya gagal mengawalnya dan jadi hilang fokus. Kali ini, saya hanya mahu menikmatinya setiap kali turun beraksi," katanya.

Catatan 17.14 meter yang dilakukannya dalam Sukan SEA baru baru ini bukan catatan terbaiknya tetapi bagi atlet berusia 27 tahun itu, catatan 17 meter sudah memadai.

"Semestinya ada menyimpan hajat untuk sampai ke tahap itu (memecahkan rekod) tetapi seperti saya katakan, latihan saya kini tidak seperti sebelum Sukan SEA.

"Tiada yang berat tetapi hanya mengikut perancangan."