Dunia gusti profesional dikejutkan dengan laporan bekas Juara WWE dan Universal WWE Bray Wyatt telah dilepaskan oleh WWE semalam.

Dalam satu kenyataan melalui laman sesawang rasmi WWE, bintang gusti berusia 34 tahun itu diumumkan tidak lagi bersama WWE, setelah hampir 12 tahun beraksi di syarikat gusti terbesar dunia itu.

Menurut penganalisis gusti Dave Meltzer dari Pro Wrestling Illustrated, pelepasan Wyatt ini adalah sebahagian daripada langkah penjimatan kos oleh WWE, walau pun Wyatt telah dijadualkan akan kembali semula bagi menghangatkan lagi kempen acara Summerslam pada bulan ini.

Kali terakhir Wyatt beraksi adalah dengan membawa watak The Fiend di acara WWE Wrestlemania pada April lalu dengan tewas kepada Randy Orton.


Wyatt yang merupakan anak kepada penggusti legenda Mike Rotunda atau lebih dikenali sebagai IRS telah memulakan karier di Florida Championship Wrestling pada tahun 2009 sebelum diserapkan ke jenama NXT dalam program pembangunan bakat WWE.

Membawa watak sebagai Husky Harris, penggusti bertubuh gempal ini nyata mampu membuatkan para penonton terkesima kerana mempunyai ketahanan stamina yang tinggi serta mempamerkan pelbagai aksi yang mengagumkan. Sehinggakan dirinya pernah digelar sebagai penggusti yang mempunyai badan umpama kereta kebal, namun dikuasakan dengan enjin Ferrari.

Tahun 2012 menjadi satu lagi titik kecemerlangan untuk Wyatt apabila karakternya dijenamakan semula kepada Bray Wyatt yang membawakan imej yang agak menyeramkan, dengan turut menampilkan beberapa penggusti gergasi seperti Erick Rowan, Braun Strowman dan mendiang Luke Harper dalam sebuah pasukan yang diberi nama Wyatt Family.


Dengan kebolehan mengendalikan promo yang hebat dalam gelanggang, Wyatt tidak perlu menunggu lama untuk menjadi seorang bintang yang dikagumi. Walaupun membawakan pesona mistik dari alam kegelapan, namun setiap kali kemunculan Wyatt, para peminat akan bersama-sama menjadi “Fireflies” dan turut sama menyanyikan lagu “Dunia Berada Dalam Genggamannya”.

Bermula April 2019, Wyatt sekali lagi membuatkan para WWE Universe terpempan apabila memperkenalkan Firefly Fun House. Dengan watak ceria dan menghiburkan terutama kepada kanak-kanak, siapa sangka rupanya Wyatt mempunyai sisi gelap berbeza dan boleh berubah menjadi penggusti bertopeng menggerunkan yang digelar sebagai The Fiend. Hinggakan ramai bintang legenda turut menjadi mangsanya seperti Mick Foley, Kane, Kurt Angle termasuk Vince McMahon sendiri.

Sepanjang bergusti di WWE, Wyatt pernah bergelar Juara Beregu Raw dan Smackdown, Juara WWE dan Juara Universal. Membuktikan yang dirinya bukanlah seorang bintang biasa dan mampu memukau para peminat hanya sekelip mata.

Dengan pelepasan ini, ramai menjangkakan yang Wyatt akan disunting oleh pihak AEW (All Elite Wrestling) bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan mendiang Brodie Lee (Luke Harper) dalam pasukan Dark Order. Tidak mustahil juga, Wyatt akan kembali bersatu dengan Braun Strowman dan Erick Rowan setelah kedua-dua bintang ini juga turut dilepaskan oleh pihak WWE dan diberikan kebebasan untuk bergusti di mana sahaja.

(Foto: WWE.com)

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia,WWENetwork. Saksikan acara WWE Summerslam pada 22 Ogos diikuti NXT Takerover 36 pada 23 Ogos depan serta kesemua acaraWWEPay-Per-View secara langsung! Tidak lupa juga kepada program-program eksklusifWWENetwork, hanya di Astro, On Demand & Astro Go.