Wushu: Skuad negara optimis kekal prestasi Kuala Lumpur 2017

Nafis Abdullah
November 26, 2019 11:24 MYT
Skuad wushu negara optimis mampu meraih pingat walaupun menyenaraikan dua atlet baru bagi temasya Sukan SEA Filipina sekali gus kekal selaku lubuk emas seperti edisi dua tahun lalu di Kuala Lumpur.
Pasukan kebangsaan berada di landasan baik menjelang saingan di Filipina apabila meraih tiga emas dan tiga perak dalam Kejohanan Dunia, September lalu.
Namun, temasya Sukan SEA kali ini menyaksikan Malaysia kehilangan khidmat dua juara dunia, Tan Cheong Min dan Chuah Shyang Yang, memandangkan acara yang disertai mereka tidak dipertandingkan.
Bagaimanapun, wakil senior seperti Wong Weng Son, Yeap Wai Kin dan Loh Choon How percaya penyertaan dua atlet baru ke dalam skuad kali ini mampu menghadiahkan pingat kejutan.
"Kali ini, kami melakukan persiapan dengan baik untuk Sukan SEA. Saya fikir kami tidak lagi mahu lakukan kesilapan sama kerana sebelum ini, kamu kurang yakin," kata Weng Son.
"Semua atlet sangat bagus termasuk yang muda," tambah Wai Kin.
"Saya fikir kami mampu beraksi dengan baik tidak kira senior atau junior. Atlet muda memiliki teknik yang agak bagus," ujar Choon How.
Skuad negara meraih enam emas, lima perak dan tiga gangsa dalam edisi Sukan SEA di Kuala Lumpur, dua tahun lalu.