Harapan ratu terjun negara, Pandelela Rinong, untuk meraih pingat dalam acara 10 meter platform individu wanita Sukan Olimpik Tokyo 2020 musnah selepas permulaan kurang bernasib baiknya dalam terjunan pertama di Pusat Akuatik Tokyo sebentar tadi.

Pandelela hanya merekodkan 18 mata pada terjunan pertamanya itu selepas kakinya sedikit terkena platform sebelum melakukan 'entry' yang kurang kemas.

Bagaimanapun, atlet kelahiran Sarawak itu cuba bangkit pada terjunan kedua, di mana dia merekodkan 71.05 mata sebelum meraih 60.80 mata dalam terjunan ketiga.

Dengan merekodkan 52.80 mata pada terjunan keempat dan 43.20 mata pada terjunan kelima, Pandelela terpaksa berpuas hati menduduki tangga terbawah daripada 12 peserta selepas mengumpulkan 245.85 mata keseluruhan.

Penerjun China, Quan Hongchan, menepati ramalan selaku pemenang pingat emas dengan 466.20 mata keseluruhan sambil rakan senegaranya, Chen Yuxi, meraih perak dengan 425.40 mata keseluruhan.

Wakil Australia, Melissa Wu, pula menjadi pemenang pingat gangsa selepas menghimpunkan 371.40 mata.

*Kredit foto: asiana.my