Gianmarco Tamberi dan Mutaz Essa Barshim menyinar dalam kalungan pingat emas bersama di Tokyo, yang mencerminkan persahabatan yang membantu mengangkat mereka ke puncak prestasi.

Juara dunia dari Qatar, Barshim, memasuki final sebagai pilihan dan dia serta wakil Itali, Tamberi, merupakan dua atlet terakhir dalam pertandingan yang penuh mendebarkan, gagal untuk melakukan lompatan rekod Olimpik, 2.39 meter dalam ketiga-tiga percubaan.

Selepas tiada kesilapan yang dilakukan sebelum ini, bermakna jump-off untuk meraih emas menjadi penentuan sebelum mereka dipilih sebagai pemenang pingat emas bersama dan berkongsi saat yang penuh beremosi.

Tamberi menjelaskan bagaimana Barshim memberikan sokongan penting kepada dirinya ketika kembali ke aksi kompetitif setelah patah pergelangan kaki yang memaksanya dia terlepas saingan Rio 2016 dan meletakkan kariernya di bawah ancaman.

"Selepas kecederaan saya, saya hanya mahu kembali, tetapi sekarang saya mempunyai emas ini, ia sangat luar biasa. Saya mengimpikan perkara ini berkali-kali," kata Tamberi.

"Saya diberitahu pada tahun 2016 sebelum Rio ada risiko saya tidak akan dapat bersaing lagi. Perjalanan yang sungguh panjang telah saya lalui untuk sampai ke sini."



Barshim juga mengalami masalah pergelangan kaki antara kejayaan 2017 dan 2019 dalam Kejohanan Dunia dan setelah itu dia mendedahkan dia dan Tamberi telah banyak membincangkan prospek untuk dapat berkongsi pingat emas sebelumnya.

"Saya memandangnya, dia melihat saya, dan kami mengetahuinya. Kami mengetahui ia sudah selesai. Tidak perlu [untuk meneruskan]," katanya.

"Sebenarnya, kami membincangkannya bertahun-tahun yang lalu, tetapi kami hanya mengatakan, 'Oh bayangkan ...', dan hari ini, sebenarnya ia berlaku. Ini adalah perasaan yang luar biasa, anda tidak boleh lebih bahagia daripada itu."

Barshim berkata lagi, "Dia adalah salah satu sahabat saya, tidak hanya di trek, tetapi di luar trek. Kami bekerjasama. Ini adalah impian yang menjadi kenyataan. Ini adalah semangat sejati, semangat ahli sukan, dan kami di sini menyampaikan mesej ini.

"Kami mengalami banyak cedera yang sama, dan kami tahu berapa banyak yang diperlukan, secara fizikal dan mental untuk kembali ke sini. Saya menghargai apa yang telah dia lakukan, dia menghargai apa yang telah saya lakukan. Ini luar biasa."