Walaupun mengalami trauma -- dihimpit sehingga terjatuh dan mengalami kecederaan di bahagian tulang rusuk dan kulit di bahagian bahunya koyak, Shah Firdaus Sahrom, melaungkan semangat kamikaze menjelang suku akhir acara keirin berbasikal trek, Sukan Olimpik Tokyo 2020, pagi esok.

Semangat juang Shah Firdaus untuk terus berjuang di Velodrom Izu tidak sedikit pun berkurang selepas pelumba kelahiran Johor itu mendapat lampu hijau daripada jurulatih, John Beasley, dan Institut Sukan Negara (ISN) walaupun pada awalnya dibimbangi mengalami kecederaan rusuk berikutan dikejarkan ke hospital selepas mengadu sesak nafas sejurus kayuhan repechage.

"Insya-Allah tiada apa-apa (serius). Perjuangan harus diteruskan.

"Saya melecet di dari bahu hingga ke kaki kiri.

"Kamikaze," katanya ketika ditemui di Juntendo University Shizuoka Hospital oleh wartawan Astro Arena, Bazly Azmi, sebentar tadi.

Shah Firdaus mempamerkan semangat luar biasa walaupun terlibat dalam kemalangan saringan kedua hari ini.

Dia juga mempamerkan prestasi mengagumkan apabila mengakhiri repechage dengan muncul sebagai pelumba terbaik meskipun suatu ketika dikepung dan ketinggalan di belakang.





Sementara itu, Datuk Azizulhasni Awang, lega apabila percaturan hari ini berjaya yang menyaksikannya mengungguli saringan ketiga.

"Pelan hari ini memang untuk menang (perlumbaan pertama), tidak mahu pergi ke repechage untuk simpan tenaga sebanyak yang boleh.

"Esok ada tiga perlumbaan yang sengit dan sukar dalam satu sesi pagi.

"Sebelum perlumbaan saya doakan agar tidak ditimpa kemalangan, macam rakan saya, Shah Firdaus.

"Saya juga berdoa supaya elak daripada dikepung. Perlumbaan tadi saya berjaya melaksanakannya dengan begitu baik.

"Alhamdulillah tiada kemalangan itu penting supaya saya (dalam keadaan) segar esok," katanya yang memenangi pingat ganga Kejohanan Dunia 2019.