Jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, pula perlu melepasi catatan terbaiknya musim ini apabila badan Olahraga Dunia menetapkan 2.17m sebagai had ketinggian permulaan dalam aksi pembuka tirai olahraga Sukan Olimpik Tokyo 2020, Jumaat ini.

Ia cabaran buat atlet berusia 34 tahun itu untuk muncul sebagai atlet olahraga pertama negara yang mara ke final Sukan Olimpik dengan catatan terbaik musim ini ialah 2.10m yang dilakarnya dalam Terbuka Kazakhstan, bulan lalu.

"Ini memang standard kejohanan besar dunia, saya sudah bersedia sebelum datang ke sini.

"Saya sudah 100 peratus untuk aksi kompetitif.

"Cabarannya berbeza dengan Kejohanan Dunia sebab Sukan Olimpik merupakan temasya paling besar dunia, tekanannya benar-benar berbeza," katanya.

Hup Wei mengambil kesempatan meninjau persekitaran Stadium Olimpik Tokyo yang bakal menjadi gelanggang cabarannya dan secara tidak langsung membuatkan semangatnya semakin membara.

"Semakin dekat dengan kejohanan, saya semakin bersemangat.

"Saya harap tidak perlu datang awal sangat ke lokasi pertandingan, ia boleh meletihkan fizikal," katanya.