Pemain golf negara, Gavin Green, kempunan untuk melunaskan misi peribadinya di bumi tokyo selepas menamatkan saingan hari terakhir di kelompok bawahan dengan 72 pukulan 1 di atas par.

Selepas terpaksa beraksi panjang sebanyak 22 lubang semalam, harapan terakhir Gavin adalah untuk memperbaiki kedudukannya dalam pusingan terakhir hari ini.

Ia bermakna dia perlu mendapatkan catatan sempurna dalam cuaca panas terik di Kelab Golf Kasumigaseki, di mana dia membenamkan empat birdie di lubang keempat, lapan, 13 dan 14, namun melakukan lima bogey untuk mengakhiri saingan dengan catatan 72 pukulan 1 di atas par.

Selepas empat pusingan, Gavin mencatatkan empat di atas par 288 keseluruhan, sekali gus berada di tangga ke-57 daripada 60 peserta.

Sebagai rekod, Gavin menamatkan aksi di Rio lima tahun lalu di tangga ke-47 keseluruhan.