Persediaan tanpa jurulatih dalam sesi latihan tampak menjadi faktor utama pemain golf negara, Gavin Green, gagal menyerlah dalam saingan Sukan Olimpik Tokyo di Kelab Golf Kasumigaseki tetapi dia kelihatan enggan menjadikannya sebagai satu alasan.

Gavin berlatih di bawah bimbingan Chris O’Connell dari Amerika Syarikat (AS) sejak 2016 -- jurulatih yang pernah membimbing bintang Jelajah PGA, Matt Kuchar.

Dalam penampilan keduanya di pentas Sukan Olimpik kali ini, bekas pemain nombor satu Asia itu menamatkan saingan empat pusingan berkenaan di tempat ke-57 dengan catatan 4 di atas par 288 keseluruhan.

Ia menyaksikan Gavin gagal mencapai misi peribadinya, iaitu memperbaiki kedudukan ke-47 yang dilakukanya dalam edisi di Rio pada 2016.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, dia berkata: "Ia amat sukar kerana saya tidak dapat berjumpa dengannya (O’Connell) kerana dia berada di AS. Saya hanya dapat berjumpa dengannya dua atau tiga kali sejak COVID-19.

"Kebiasaannya, saya akan berlatih dengannya sebanyak lima hingga lapan kali dalam setahun.

"Berlatih dengan panggilan video memang tidak sama. Ia perlu secara berdepan dengan jurulatih anda, jadi ia amat berbeza.

"Mungkin dalam Sukan Olimpik yang akan datang saya akan membawa jurulatih dan pasukan saya," katanya.

Mengulas lanjut, Gavin menambah: "Anda sentiasa berdepan pemain yang hebat, permukaan lapangan sentiasa cantik dan ini adalah Sukan Olimpik, semua orang mahu menyertainya.

"Semua pemain terbaik dunia berada di sini, jadi saya perlu meningkatkan permainan saya.

"Saya bergelut sepanjang tahun ini tetapi saya berharap akan ada sesuatu yang memihak saya minggu ini. Ia menjadi lebih baik tetapi saya memerlukan lebih masa," katanya lagi.