Tokyo 2020: China raih emas pertama di kolam terjun

Muzaffar Musa
Julai 25, 2021 08:50 MYT
China melaungkan amaran dalam acara terjun Sukan Olimpik Tokyo 2020 apabila menggondol pingat emas pertama di Pusat Akuatik Tokyo hari ini.
Ia disumbangkan oleh gandingan Shi Tingmao-Wang Han dalam acara 3 meter papan anjal seirama wanita selepas mengumpul 326.40 mata.
Pingat perak milik pasangan Kanada, Jenifer Abel-Melissa Beaulieu, manakala wakil Jerman, Lena Hentschel-Tina Punzel, pula meraih gangsa.
Tingmao, yang merupakan juara dunia lapan kali, menambah pingat emas ketiganya di pentas Sukan Olimpik selepas merangkul dua daripadanya di Rio pada 2016.
Kedua-dua penerjun China itu akan beraksi dalam acara 3 meter papan anjal individu wanita, sekali gus bakal menjadi cabaran buat dua wakil negara, Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yee.
#Terjun #Sukan Olimpik Tokyo 2020