Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, menyasarkan rekod Asia dalam acara pecut individu Sukan Olimpik Tokyo 2020, Rabu depan.

Dia berhasrat mengatasi rekodnya sendiri, 9.548 saat, yang dilakar dalam pusingan kelayakan Kejohanan Dunia 2020 lalu.

Keyakinan itu hadir selepas atlet kelahiran Terengganu itu berpeluang menguji Velodrom Izu yang terkenal antara trek paling pantas di dunia.

"Hari ini (merupakan) sesi latihan pertama kami (di velodrom), sebelum ini kami hanya berlatih di dalam bilik (Perkampungan Sukan).

"Jadi kaki rasa agak berat sikit, kayuhan itu agak perlahan sikit.

"Tapi tadi saya rasa agak laju. Perasaannya bagus. Saya sangka saya seorang sahaja berasakan begitu dan jurulatih juga kata kayuhanan saya tadi laju, nampak lancar.

"Saya gembira dengan latihan pertama hari ini," katanya.




Azizul juga tidak terkesan dengan kegagalan atlet senegara seperti badminton untuk meraih pingat emas.

Selain berbasikal trek, hanya terjun berpeluang untuk menjelmakan medal dalam acara 10m platform terjun individu menerusi Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong, Rabu depan.

"Saya percaya mereka (atlet) semua tidak mengambil mudah, bukan saja-saja datang ke sini.

"Saya tahu sebab saya juga atlet. Mereka telah buat sepenuh jiwa dan raga.

"Mungkin di Malaysia kita hanya tengok Sukan SEA dan Sukan Asia jadi kita jangka tahap yang sama.

"Ramai yang tidak faham ini adalah Sukan Olimpik, memang tahapnya berbeza.

"Dalam Sukan Olimpik ini, ramai atlet pilihan boleh kalah awal.

"Contohnya Kento Momota dalam badminton pun tersingkir awal. Dalam sukan lain sekalipun ramai atlet nombor satu dunia juga kalah awal.

"Ini adalah Sukan Olimpik. Tekanan dan permainannya berbeza."