Andre De Grasse yang disebut-sebut sebagai pengganti ideal takhta Usain Bolt membuktikan keunggulannya dengan menjuarai 200 meter dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020, sebentar tadi.

Pemenang pingat perak di belakang Bolt dalam temasya Rio 2016 itu menggondol emas pertama dalam kariernya di sebalik dilanda beberapa kecederaan yang menghalang kemajuannya.

Dia berada di kemuncak prestasi dan akhirnya memenuhi ramalan itu dengan mengetepikan cabaran hebat juara dunia, Noah Lyles, yang lebih deras pada awal perlumbaan.

Namun, jaguh Kanada berusia 26 tahun itu memecut deras pada penghujung saingan dengan memintas Kenny Bednarek untuk catatan 19.62 saat.

Sejurus perlumbaan, De Grasse memberitahu Lyles: "Anda telah mendorong saya, anda memotivasikan saya."




Sementara itu, hanya sehari selepas Karsten Warholm mengatasi rekod dunia 400m berpagar lelaki, Sydney McLaughlin menuruti jejaknya dalam kategori wanita dengan catatan 51.46s.

Juara bertahan, Dalilah Muhammad, yang sedang meluru ke garisan penamat sempat dipintas pada saat-saat akhir oleh McLaughlin.

"Saya melihat Dalilah di depan saya dengan hanya satu lagi halangan yang perlu dipintas. Saya hanya berfikir untuk teruskan larian. Perlumbaan sebenar tidak bermula sehinggalah pagar ketujuh," katanya.

Kenya pula menggondol emas dan perak dalam 800m lelaki menerusi Emmanuel Korir yang melakar 1:45.06 di depan Ferguson Rotich.