Chef-de-misson (CDM) Malaysia untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020, Datuk Lee Chong Wei, menyeru atlet negara yang bertanding kali ini agar menguatkan tekad mereka untuk lebih berjaya, khususnya bagi menghadapi temasya Paris 2024.

Bekas jaguh perseorangan lelaki dunia itu mengucapkan tahniah kepada beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, atas kejayaan mereka menggondol pingat gangsa malam tadi yang juga merupakan podium pertama buat Malaysia dalam kempen di Jepun.

Namun, mereka seharusnya tidak terus dibuai kejayaan dan perlu segera mengalihkan fokus untuk menghadapi Sukan Olimpik Paris, tiga tahun lagi.

"Tahniah Aaron-Woi Yik kerana dapat pingat gangsa untuk rakyat Malaysia. Ini penting untuk rakyat Malaysia yang pada ketika ini duduk di rumah sahaja.

"Sukan Olimpik kali ini sangat istimewa kerana dianjurkan dalam masa lima tahun berikutan COVID-19.

"Walaupun Aaron-Wooi Yik kalah kepada mereka (Moahamd Ahsan-Hendra Setiawan) di peringkat kumpulan, bukan mudah untuk menghadapi lawan yang sama dalam tempoh seminggu. Tapi mereka mampu capai kemenangan. Ini satu tahap untuk mereka belajar sesuatu.

"Akan datang ada tiga tahun lagi untuk mereka mengadakan persiapan, begitu juga Lee Zii Jia.

"Tempoh tiga tahun ini memang cepat (berlalu), mereka perlu bersedia menghadapi Sukan Olimpik kedua buat mereka," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.




Chong Wei mengakui dengan pengalaman yang ada, Datuk Azizulhasni Awang, di laluan untuk mengukir nama di persada dunia tetapi dalam masa yang sama berpesan kepada peminat supaya usah terlalu memberi tekanan kepada atlet.

Pelumba berbasikal trek itu akan bertanding dalam dua acara di Velodrom Izu, bermula Rabu ini, di samping Shah Firdaus Sahrom.

Begitupun, dia mengingatkan semua pihak bahawa harapan yang disandarkan kepada atlet sememangnya berat, lebih-lebih lagi di pentas Sukan Olimpik memandangkan tekanannya jauh berbeza dengan kejohanan lain.

"Azizul lebih senior (matang) dalam Olimpik kali ini, dia pernah bergelar juara dunia.

"Semua atlet mahu menang, dia sudah buat persiapaan.

"Ini saat yang ditunggu-tunggu, persiapannya selama lima tahun memang lama. Dia memang mahukan emas buat dirinya dan negara, ini membuatkan dia dalam tekanan.

"Ini bukan mudah tapi rakyat Malaysia perlu terus berdiri di belakang atlet," katanya.