Tigress perlu pamer aksi lebih agresiff -- Dhaarma Raj

Ammar Hakim
Januari 15, 2017 03:30 MYT

Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah menegaskan aksi aggresif harus ditampilkan anak buahnya melebihi apa yang telah dilakukan sewaktu perlawanan pertama berdepan Hong Kong pada Sabtu.

Kemenangan 9-0 ke atas Hong Kong masih belum melegakan bekas ketua jurulatih kebangsaan itu kerana ia pasti lebih sukar dalam aksi kedua berdepan Ireland pada Isnin.
Bagi Dhaarma, Ireland yang berada di tangga ke-16 dunia itu pasti mempunyai kelebihan ke atas Malaysia yang kini berada di kedudukan ke-21 dunia jika Malaysia sekadar mempamerkan aksi yang serupa ketika berdepan Hong Kong yang rankingnya jauh lebih rendah dari Malaysia.
Apa yang penting adalah kawalan daripada segi pertahanan dan memanfaatkan peluang sebaiknya menerusi pukulan sudut penalti.
“Kami hanya mencari kemenangan yang mudah, dalam peraturan baru, kami harus memastikan kemenangan kerana jika penentuan pukulan penalti harus diambil jika perlawanan tamat dengan keputusan seri,” kata Dharma.
Jika skuad negara berjaya menundukkan pasukan Ireland dan menjuarai peringkat Kumpulan B, Dhaarma percaya laluan mudah mungkin berpihak kepada Malaysia di aksi suku akhir nanti.
“Pada saya, perlawanan yang penting adalah berdepan Ireland, kerana kami mahu memastikan kemenangan ke atas Kazakhstan untuk melihat pasukan mana yang bakal menungguli saingan peringkat kumpulan.”