Tiada penerjun negara sokong Zhuliang?

Penulis Jemputan
Disember 21, 2017 12:03 MYT
Ketua jurulatih terjun negara, Yang Zhuliang, lebih berkecil hati apabila tiada seorangpun penerjun tampil menyokongnya selepas kontraknya tidak disambung, sekaligus membayangkan wujud masalah di dalam kem negara.
Adakah Zhuliang berdepan masalah dengan beberapa penerjun hingga khidmatnya tidak diperlukan lagi?
Persoalan itu wujud apabila tiada seorangpun penerjun tampil memberi sokongan terhadapnya ketika berdepan situasi sukar ketika ini.
Lebih mengecewakan, kebanyakan penerjun handalan negara lahir daripada asuhan Zhuliang sejak hampir sedekad lalu.
"Ada penerjun yang tidak selesa dengan cara saya," katanya. "Mungkin kerana mereka berlatih hingga cedera.
"Saya tidak tahu mengenai aktiviti mereka, makan, membeli belah dan tempat tinggal. Selepas berlatih, saya pulang ke rumah," ujarnya.
Jurulatih berusia 53 tahun itu terkenal dengan sikap tegas sehingga berjaya melahirkan juara dunia dan pemenang pingat Sukan Olimpik.
Beliau mula memberi tumpuan terhadap penerjun muda seperti Kimberly Bong dan Jellson Jabilin hingga meraih pingat Piala Dunia selain Cheong Jun Hoong yang muncul juara dunia.
Begitupun, pencapaian itu tidak cukup meyakinkan Program Podium untuk menyambung kontraknya yang tamat 31 Disember ini di atas dakwaan enggan menggunakan khidmat sains sukan.
"Dalam skuad China, semua jurulatih perlu mengikuti kursus sains sukan dan saya bekerjasama rapat dengan mereka di sana. Tetapi ia berbeza di Malaysia. Ia sukar," kata Zhuliang lagi.