Terjun Siri Dunia: Pandelela, Jun Hoong hambar dalam final

Penulis Jemputan
April 29, 2018 04:03 MYT
Selepas meraih pingat emas acara 10m platform seirama dalam pusingan ketiga Kejohanan Terjun Siri Dunia FINA semalam, penerjun negara, Cheong Jun Hoong dan Pandelela Rinong, gagal menambah pingat apabila terlepas podium di Montreal, Kanada, awal pagi tadi.
Selepas masing-masing mara ke acara akhir dengan menduduki tangga ketiga saringan separuh akhir 10m platform individu, rentak itu bagaimanapun gagal dikekalkan.
Permulaan kurang baik, khususnya Jun Hoong selaku juara dunia 2017, meletakkannya di tangga tercorot sejak terjunan pertama.
Prestasi itu menyebabkan dia sukar untuk bangkit dan seterusnya kekal di kedudukan itu dengan keseluruhan 298.70 mata.
Kebangkitan lewat Pandelela pula belum memadai untuknya menjejaki podium apabila peserta tuan rumah, Meaghan Benfeito, menampilkan aksi konsisten sehingga terjunan kelima untuk menjamin gangsa.
Emas dimenangi peserta cilik China, Ren Qian (395.85 mata) disusuli rakan senegara, Si Yajie (377.65 mata).