Novak Djokovic mara ke pusingan ketiga Kejohanan Tenis Terbuka Perancis dengan menewaskan Alex Molcan 6-2, 6-3, 7-6 awal pagi tadi.

Juara bertahan Roland Garros itu hanya memerlukan tempoh setengah jam untuk memenangi set pertama dan kelihatan akan memperoleh kemenangan mudah selepas memenangi set kedua dengan rentak sama.

Bagaimanapun, Molcan -- yang dilatih oleh bekas mentor Djokovic, Marian Vajda -- mempamerkan aksi lebih baik dalam set ketiga, di mana dia buat kali pertama mematahkan servis pemain nombor satu dunia itu.

Dia memaksa perlawanan diheret ke penentuan 'deuce' di kedudukan 6-5 sewaktu Djokovic memegang servis tetapi lawan yang merupakan juara grand slam 20 kali itu tidak berdepan masalah untuk meraih dua mata berturut-turut bagi membawa set berkenaan ke penentuan 'tie-break'.

Pemain nombor 38 dunia, Molcan, memulakan 'tie break' dengan mendahului Djokovic di mana bintang Serbia itu dipaksa bermain di garisan belakang oleh pukulan-pukulan voli menarik.

Dia menyelamatkan tiga mata akhir pertama dengan variasi pukulan-pukulan mengelirukan tetapi lawan berkenaan jelas terlalu hebat untuk ditandinginya.

Djokovic, yang melakukan 10 ace dan 40 winners dalam perlawanan selama dua jam dan 16 minit itu, seterusnya akan bertemu Aljaz Bedene dalam pusingan ketiga.