Terbuka Perancis: Djokovic ke pusingan keempat, samai rekod Nadal, Federer

Muzaffar Musa
Oktober 4, 2020 05:08 MYT
Novak Djokovic mengatasi cabaran dalam cuaca hujan apabila mudah menewaskan Daniel Elahi Galan 6-0, 6-3, 6-2 untuk mara ke pusingan keempat Kejohanan Tenis Terbuka Perancis malam tadi.
Dengan layak ke peringkat itu buat tahun ke-11 berturut-turut, pemain nombor satu dunia itu menyamai rekod yang dilakarkan dua seterunya, Rafael Nadal dan Roger Federer, di Roland Garros, untuk mencongak perhitungan dengan pemain pilihan ke-15, Karen Khachanov, dalan perlawanan berikutnya.
Djokovic mengekalkan rekod tanpa kalah berdepan pemain nombor 153 dunia, Galan -- yang meraih dua kemenangan pertamanya dalam kejohanan grand slam minggu ini tetapi gagal menyaingi jaguh Serbia berkenaan -- dengan kemenangan dalam tempoh dua jam dan lapan minit.
Kedua-dua pemain itu, bagaimanapun, berada lebih lama di gelanggang Philippe Chatrier selepas perlawanan itu ditunda seketika disebabkan cuaca hujan di Paris dan perlu menantikan bumbung gelanggang itu ditutup sepenuhnya.
Bagaimanapun, rintik-rintik hujan telah mula mengganggu Djokovic lebih awal, di mana dia melakukan double fault berturut-turut dan bumbung berkenaan hanya mula ditutup selepas Galan memenangi game pertamanya dengan pukulan terus menyilang.
Hujan mula lebat selepas itu dan pemain nombor satu dunia berkenaan meminta perlawanan dihentikan selepas Galan tergelincir -- yang menyaksikan perlawanan set kedua itu terpaksa direhatkan sementara menunggu bumbung berkenaan tutup sepenuhnya -- dan Djokovic mula menghiburkan dirinya dengan membantu pekerja selenggara menyapu gelanggang di garisan belakang.

If tennis doesn’t work out, we have a job for you @DjokerNole ? ?#RolandGarros pic.twitter.com/B56ubcRQSS

— Roland-Garros (@rolandgarros) October 3, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Selepas perlawanan bersambung, mata break kedua uang diperoleh Djokovic dalam set kedua memudahkan laluannya sebelum menamatkan perlawanan itu tanpa melepaskan sebarang servis dalam set terakhir.
#Novak Djokovic #Tenis #Tenis Terbuka Perancis