Terbuka Palermo: Halep dijamin tidak perlu jalani kuarantin

Shaiful Shamsudin
Julai 26, 2020 00:48 MYT
Simona Halep diberi jaminan untuk menyertai Kejohanan Tenis Terbuka Palermo berikutan dikhuatiri peraturan baru kuarantin di Itali akan menafikan penyertaannya.
Sekatan baru yang diumumkan semalam membabitkan semua pelawat yang pernah ke Romania atau Bulgaria dalam 14 hari terakhir; namun, penganjur kejohanan yakin bahawa ia tidak akan dikenakan terhadap atlet.
Ketua Eksekutif Terbuka Palermo, Oliviero Palma, telah menulis surat kepada Menteri Kesihatan Itali, Roberto Speranza, untuk meminta pengecualian itu dan semalam mengeluarkan kenyataan optimis bahawa juara Wimbledon berkenaan akan mendapat kelulusan.
"Simona Halep harus mengambil bahagian dalam Terbuka Palermo ke-31," kata Palma.
"Berdasarkan tafsiran mengenai sekatan itu yang membabitkan warga pekerja, atlet profesional juga dalam golongan tersebut jadi mereka harus dikecualikan daripada proses kuarantin wajib.
"Kami sedang menunggu penjelasan rasmi daripada pihak berwajib tetapi kami yakin. Saya telah meyakinkan pengurus Simona Halep."
Pemain nombor dua dunia itu, yang meluangkan masa di rumahnya dekat Romania, dijadualkan bertolak ke Sicily untuk menyertai kejohanan yang bermula pada 3 Ogos itu.

The first tennis players are expected to arrive tomorrow. The first one will be Paula Badosa, followed by the others of the qualifying round. All of them, starting from Tuesday, will undergo the Coronavirus test. Subsequently, it will be repeated every four days.#PLO20@WTA

— Palermo Ladies Open (@LadiesOpenPA) July 25, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Terbuka Palermo akan menjadi kejohanan Jelajah WTA yang pertama dianjurkan sejak Mac lalu sementara Halep antara tarikan utama di gelanggang.
Itali, salah satu negara pertama yang dilanda wabak COVID-19, bertekad untuk berhati-hati dengan pengunjung dari negara luar.
Speranza berkata: "Kami perlu melindungi negara ini dalam konteks antarabangsa yang semakin buruk. Kita hidup di satu planet. Pertempuran dimenangi dengan tekad dan solidariti."
#Tenis #Jelajah WTA #Terbuka Palermo