Terbuka AS: Impian empat grand slam semusim Djokovic musnah di tangan Medvedev

Muzaffar Musa
September 13, 2021 03:52 MYT
Impian Novak Djokovic untuk menyapu bersih keempat-empat gelaran grand slam musim ini musnah sebaik tewas kepada Daniil Medvedev dalam final Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) hari ini.
Selepas memenangi Terbuka Australia, Terbuka Perancis dan Kejohanan Wimbledon, Djokovic tiba di New York untuk memburu gelaran grand slam terakhir musim ini tetapi harapan itu berkecai sebaik tewas 4-6, 4-6, 4-6 dalam aksi final.
Rod Laver, pemain perseorangan lelaki terakhir yang berjaya melakukan perkara itu pada 1969, turut menjadi sebahagian daripada penonton di Flushing Meadows dengan harapan dapat menyaksikan pencapaiannya diulangi tetapi ia sebaliknya menjadi hari gemilang Medvedev untuk pemain Russia itu akhirnya bergelar juara kejohanan utama.
Ia bermakna Djokovic masih terikat dengan Roger Federer dan Rafael Nadal dengan rekod 20 gelaran grand slam sepanjang karier, sambil menerima mesej bahawa satu generasi baru sedang meningkat naik, diketuai oleh pemain nombor dua dunia, Medvedev.
Ia juga merupakan kali pertama sejak 1990 dua juara grand slam baru menempa nama dalam acara perseorangan Terbuka AS selepas pemain remaja Britain, Emma Raducanu, turut menjuarai acara wanita semalam.
#Novak Djokovic #Tenis #Grand Slam #Daniil Medvedev #Tenis Terbuka Amerika Syarikat