Novak Djokovic hanya dibezakan satu lagi kemenangan untuk menjadi pemain pertama melengkapkan kesemua gelaran grand slam sejak 52 tahun lalu.

Pemain nombor satu dunia itu bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Alexander Zverev 4-6, 6-2, 6-4, 4-6, 6-2 dalam separuh akhir Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) hari ini, sekali gus menghampiri sejarah berkenaan.

Djokovic akan berdepan pemain pilihan kedua, Daniil Medvedev, dalam final esok.

Dia juga akan berusaha memecahkan rekod 21 gelaran grand slam dan menjadi pemain pertama memenangi kesemua gelaran utama dalam satu musim sejak Rod Laver melakukannya pada 1969.


Sebelum ini, Zverev memusnahkan impian Djokovic untuk merekodkan Golden Slam sewaktu separuh akhir Sukan Olimpik Tokyo 2020 --memenangi tiga set terakhir selepas tewas set pembukaan -- tetapi skrip kali ini ternyata berbeza, di mana Djokovic pula melakar kebangkitan selepas tewas set pertama.

Dengan kemenangan terbaru ini, Djokovic telah melebarkan rekod perlawanan malam di Stadium Arthur Ashe kepada 34-2 dan 36-10 dalam aksi lima set sepanjang kariernya.