Terbuka Astana: Pilihan utama, Karatsev, tersingkir dalam pusingan 16

Muzaffar Musa
September 24, 2021 03:56 MYT
Pemain pilihan utama, Aslan Karatsev, tersingkir dalam pusingan 16 Kejohanan Tenis Terbuka Astana selepas tewas kepada Emil Ruusuvuori awal pagi tadi.
Pemain nombor 84 dunia, Ruusuvuori, menyelamatkan satu mata akhir dalam penentuan 'tie break' set pertama sebelum meraih kemenangan 7-6, 6-4, sekali gus akan bertemu Ilya Ivashka dalam perebutan tempat ke separuh akhir.
Satu lagi kejutan hampir berlaku apabila pemain pilihan kedua, Alexander Bublik, terpaksa bangkit daripada ketinggalan satu set sebelum menang 2-6, 6-3, 7-5.
Menanti Bublik dalam suku akhir adalah pemain Sepanyol, Carlos Taberner, yang menewaskan Egor Gerasimov 5-7, 7-6, 7-5.
Kwon Soon-Woo dan James Duckworth turut meneruskan kemaraan selepas masing-masing menewaskan Dusan Lajovic dan Filip Krajinovic dengan keputusan straight set.
#ATP #Tenis #Tenis Terbuka Astana