Rafael Nadal menundukkan pilihan utama, Jannik Sinner, dalam Kejohanan Tenis Internazionali BNL d'Italia sementara Daniil Medvedev terkandas, awal pagi tadi.

Bintang meningkat naik, Sinner, dijangka menjadi ujian sukar kepada Nadal tetapi pemain veteran itu menang 7-5, 6-4 dalam masa 2 jam 12 minit.

Nadal akan berdepan Denis Shapovalov -- menyingkirkan pemain Itali, Stefano Travaglia, yang turut dalam prestasi terbaiknya -- menjelang pusingan 16.

Kemenangan sukar itu disambut baik Nadal selepas diketepikan Alexander Zverev dalam suku akhir Terbuka Madrid, minggu lalu.




Pemain nombor dua dunia, Medvedev, sebaliknya bergelut di atas gelanggang tanah liat untuk disingkirkan rakan senegaranya, Aslan Karatsev.

Karatsev mengambil masa 78 minit untuk mengalahkannya 6-2, 6-4 dengan memenangi 26 daripada 29 mata servis pertama.

"Saya sangat gembira," kata Karatsev, yang turut mengecewakan pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic, bulan lalu dan akan menghadapi Reilly Opelka.

"Ini adalah satu perlawanan yang sangat sukar. Sukar menjangkakan sesuatu apabila berdepan Medvedev, servisnya cukup kencang. Sukar untuk mengembalikannya tetapi saya mengharunginya dengan baik."