Taekwondo negara bakal diberi nafas baru

Penulis Jemputan
Disember 26, 2019 05:04 MYT
Jurulatih taekwondo poomsae negara, Yap Yih Ting, optimis penyertaan atlet baru pada tahun 2020 mampu menebus maruah skuad kendaliannya selepas pencapaian hambar dalam Sukan SEA Ke-30 Filipina.
Riak wajahnya jelas kecewa apabila skuad kendaliannya hanya mampu merangkul satu pingat emas dan dua gangsa dalam edisi di Filipina itu.
Gandingan bertenaga Jason Loo dan Nurul Hidayah Karim memukau barisan juri dalam kategori poomsae berpasangan campuran apabila memenangi emas sulung buat skuad taekwondo negara.
Sementara itu, dua gangsa dirangkul menerusi Augustine Rudy Grocer dalam kategori individu di samping berpasukan lelaki yang dibarisi Augustine, Jason dan Yong Jin Kun.
"Kami mahu menyerapkan sama ada dua atlet lelaki ataupun seorang lelaki dan seorang perempuan.
"Sarah Yap mengalami kecederaan di bahagian pinggul yang agak serius dan dalam masa yang sama, kami akan memperkenalkan teknik gaya bebas," katanya.
Bagaimanapun, Yih Ting optimis perancangan tahun depan akan membawa perubahan dan kebangkitan kepada kem taekwondo selepas tahun yang kurang memberangsangkan.
"Kami akan memulakan program teknik gaya bebas selepas Julai depan.
"Kami akan menghadapi Kejohanan Asia pada Mac, disusuli Kejohanan Dunia pada Mei, kemudian akan bersambung pula untuk menghadapi Terbuka Korea Selatan.
"Selepas empat tahun, saya berasakan kami boleh (memberi cabaran yang hebat)."