Peluang skuad ragbi tujuh sepasukan wanita negara untuk merebut kilauan pingat dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, bulan depan semakin cerah apabila Indonesia tidak akan menyertai acara itu.

Perkara itu disahkan dalam mesyuarat Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM) semalam, namun Indonesia tetap akan menghantar pasukan untuk menyertai kategori lelaki.

Menurut Pengarah Pertandingan KRM, Fahmy Jalil, pihaknya terpaksa merangka semula jadual pertandingan di sebalik tiada perubahan dalam format dan tarikh pertandingan.

Acara ragbi tujuh sepasukan wanita dijadualkan pada 19 dan 20 Ogos di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya dengan menggunakan format liga.

"Pada awalnya, acara ragbi akan disertai enam pasukan lelaki dan enam wanita.

"Tetapi pada saat-saat akhir, Indonesia mengumumkan tidak menghantar wakil mereka sehingga kami terpaksa merombak semula jadual yang telah dikeluarkan sebelum ini.

"Oleh itu, kami akan menyediakan jadual baru yang perlu mendapat kelulusan daripada Ragbi Asia," kata Fahmy.

Dengan ketiadaan Indonesia, hanya lima negara iaitu Laos, Filipina, Singapura, Thailand serta Malaysia yang bakal membuat perhitungan merebut emas.

"Saya juga mengharapkan yang terbaik daripada pasukan wanita untuk setidak-tidaknya memenangi pingat.

"Ketiadaan Indonesia akan memberi peluang yang lebih positif buat pasukan wanita kita memenangi pingat."