Sukan SEA: Khairul sudah sedia hadapi

Penulis Jemputan
Ogos 8, 2017 09:38 MYT
Pemanah negara, Khairul Anuar Mohamad, mememangi acara recurve individu lelaki dengan menewaskan Zarif Syahir 6-4 dalam saingan simulasi untuk Sukan SEA ke-29 di Padang Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.
Menurut Khairul, persaingannya dengan Zarif begitu sengit dengan menganggap pemanah muda itu banyak melakukan bidikan yang menyamainya.
"Saingan tadi memang sengit dan Zarif mampu menterjemahkannya seperti dalam latihan. Apa yang penting di sini, kami dapat belajar rentak final sebab kami jarang sertainya, apabila pertandingan medal barulah kami sertai.
"Kami cuba merasainya, bagaimana untuk mencari bidikan yang lebih senang," katanya.
Mengulas lanjut, Khairul berkata saingan simulasi itu mampu membantunya menyesuaikan diri untuk menghadapi pertandingan sebenar nanti.
"Walaupun kami bersaing sesama sendiri, kami menganggap ia suasana dalam Sukan SEA. Jadi, kami berjuang betul-betul seperti mana hari pertandingan. Ini bukan setakat simulasi bagi kami.
"Bagi saya, ia sangat membantu, terutama dalam situasi angin yang tidak menentu dan sering berubah-ubah. Ia membuatkan kami keliru tetapi di situ, kami dapat belajar dan akan lebih faham," tambahnya.
Sukan memanah akan membuka tirainya pada 16 Ogos ini, dengan 10 acara akan dipertandingkan di Padang MSN, Bukit Jalil.
Acara
Recurve: Lelaki, wanita, berpasukan (L&W) & campuran
Compound : Lelaki, wanita, berpasukan (L&W) & campuran
#memanah #Sukan SEA 2017 #Khairul Anuar Mohamad #Compound #'Recurve #Zarif Syahir