Atlet lawan pedang negara, Yu Peng Kean, bersedia untuk kembali bersara selepas merekodkan pencapaian terburuk, gagal melepasi peringkat kumpulan acara sabre Sukan SEA Hanoi di Gimnasium Tertutup Hanoi hari ini.

Olimpian negara itu jelas kecewa kerana tidak dapat mencetuskan impak selepas lima tahun tidak beraksi secara kompetitif.

Dia tewas kesemua perlawanan peringkat kumpulan, sekali gus gagal meneruskan kemaraan ke suku akhir.

"Atlet senior yang sezaman dengan saya semua sudah berhenti, jadi saya tidak mempunyai rakan sepelatih yang bagus.

"Ia tidak cukup untuk membantu saya, jadi saya perlu memikirkan sama ada mahu meneruskannya atau tidak.

"Kerana jika teruskan, saya tidak mahu sekadar penyertaan kerana dalam hati, saya mahu mendapatkan sesuatu.

"Saya tidak mahu seperti itu kerana saya membawa bendera Malaysia.

"Secara keseluruhan, saya tidak beraksi bagus kerana tidak dapat ke pusingan seterusnya.

"Permainan saya juga agak gugup, saya tidak dapat menghadapinya dengan mentaliti yang kuat," katanya.