Sukan SEA: Acara berpasukan sasaran skuad takraw Thailand

Penulis Jemputan
Ogos 14, 2017 10:03 MYT
Skuad sepak takraw Thailand tiba di Kuala Lumpur hari ini dengan membariskan skuad terkuat dan mereka menjadikan acara berpasukan sebagai sasaran utama dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Antara yang memperkuatkan barisan Thailand dalam edisi kali ini ialah bintang veteran, Pornchai Kaokaew, yang juga memegang tugas selaku pembawa bendera kontinjen Thailand serta apit kanan berpengalaman, Yupadee Pattarapong.
Bagi Yupadee, skuad Thailand kali ini adalah yang terbaik di sepanjang penyertaan dalam temasya dwitahunan itu.
Jelasnya, juara bertahan acara berpasukan Sukan SEA itu juga sudah melakukan persiapan terbaik bagi menghadapi temasya kali ini.
"Sukan SEA kali ini pasti menarik, kami sudah bersedia," katanya.
Walaupun yakin dengan kekuatan rakan sepasukan, Yupadee tetap menghormati pasukan tuan rumah yang pastinya akan memberikan cabaran getir buat mereka.
"Malaysia sebuah pasukan bagus, mereka pasti akan mengharungi Sukan SEA dengan baik." tambah Yupadee.
#Thailand #Sukan SEA 2017 #Sepak Takraw #Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 #Yupadee Pattarapong