Sukan SEA 2019: E-sukan sandaran pingat, kata Syed Saddiq

Penulis Jemputan
Mac 1, 2019 12:16 MYT
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, melahirkan keyakinan bahawa e-sukan bakal menjadi prospek pingat buat kontinjen Malaysia dalam Sukan SEA Manila 2019 meskipun ia pertama kali dipertandingkan dalam temasya itu.
Sebanyak enam kategori permainan e-sukan dipertandingkan di Manila dari 30 November sehingga 11 Disember depan, antaranya Dota 2, Stracraft 2, Arena of Valor, Mobile Legend, Tekken serta NBA 2k19.
Bagi memastikan Malaysia tampil dengan barisan terbaik, atlet e-sukan yang kini berada di luar negara akan dikenal pasti untuk mewakili negara bagi memastikan emas berada dalam genggaman.
Selain itu, sesi kelayakan turut akan diadakan pada pertengahan bulan ini bagi mencungkil atlet berbakat untuk mewakili Malaysia.
"Seperti sukan lain, Malaysia juga menaruh harapan untuk prospek medal melalui acara seperti Dota 2.
"Pemain terbaik Dota 2 akan dipanggil mewakili Malaysia sebab mereka ini memiliki reputasi di peringkat gobal.
"Kita perlu pastikan mereka kembali untuk mewakili Malaysia," kata Syed Saddiq ketika ditemui dalam majlis penyerahan bendera Malaysia kepada atlet e-sukan negara, Luqman Haziq Hajiman, yang akan mewakili Malaysia dalam saingan kelayakan e-Piala Dunia FIFA di Singapura, 8 Mac ini.
Ini merupakan penampilan kedua Luqman dalam temasya itu setelah berpeluang beraksi di Barcelona, Sepanyol dalam edisi 2018.
"Saya akan beraksi dalam permainan e-FIFA yang menampilkan format dan ranking baru di Singapura," kata Luqman.