Sukan SEA 2017: Nur Shazrin buru tiket Piala Pelayaran Persekutuan Asia

Shaiful Shamsudin
Disember 22, 2016 22:31 MYT
Atlet pelayaran negara, Nur Shazrin Mohd Latif, tidak memandang mudah cabaran lawan menjelang Piala Pelayaran Persekutuan Asia (ASAF), Februari depan, dalam misinya untuk melayakkan diri ke Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Piala Pelayaran ASAF yang dijadualkan berlangsung di Pulau Langkawi merupakan slot kelayakan terakhir buat Nur Shazrin dan atlet pelayaran negara lain untuk ke Sukan SEA Kuala Lumpur.
Selain Nur Shazrin, dua lagi atlet pelayaran wanita negara yang turut memburu slot itu adalah Khairun Neeta Mohd Affendy dan Nurliyana Mohd Latiff.
Justeru, persaingan dijangka sengit memandangkan hanya seorang yang akan terpilih mewakili negara dalam kategori laser radial individu.
"Atlet negara akan memiliki banyak kelebihan kerana selain beraksi di laman sendiri, situasi di Langkawi juga tak menentu.
"Memandangkan kami sudah biasa dengan keadaan di sana, ia sememangnya satu kelebihan buat kami.
"Cuma kami tidak boleh terlalu yakin dan memandang rendah keupayaan lawan," katanya.
Bersandarkan pengalaman beraksi di Sukan Olimpik Rio, Ogos lalu, Nur Shazrin berharap ia mampu mengatasi cabaran dua rakan seniornya dalam pasukan.
Untuk rekod, Nur Shazrin pernah menyumbang dua pingat emas buat negara dalam acara laser radial individu dan berpasukan ketika Sukan SEA Singapura 2015.
"Peluang di Sukan SEA 2017 nanti adalah terbuka kerana Singapura dan Thailand akan mempertaruhkan pelayar baru berikutan ramai yang sudah bersara."