Nasib jelas menyebelahi Cheong Jun Hoong apabila rayuan yang dikemukakan Majlis Olimpik Negara (MOM) untuk kembali menempatkan penerjun negara itu dalam Sukan Olimpik Tokyo bulan depan diterima Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA).

Bekas juara dunia itu pada awalnya terlepas tiket ke Tokyo berikutan ada kekeliruan dalam proses kelayakan tetapi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, hari ini mengumumkan bahawa Jun Hoong sah akan menyertai temasya sukan terbesar dunia itu.

"Saya telah diberi makluman oleh Majlis Olimpik Malaysia pada lewat malam tadi bahawa pihak FINA telah mengesahkan Cheong Jun Hoong layak untuk ke Sukan Olimpik Tokyo 2020," tulis Reezal Merican dalam laman Facebook rasminya hari ini.

"Ini berdasarkan merit ranking 18 terbaik yang dicapai oleh beliau semasa Piala Dunia Terjun FINA 2021 yang berlangsung di Jepun bulan lalu.

"Alhamdulillah, ini sekali gus melengkapkan barisan atlet terjun negara yang telah layak, seperti Pandelela (Rinong), Leong Mun Yee, Wendy Ng Yan Yee dan Nur Dhabitah Sabri.

"Terima kasih kepada Majlis Olimpik Malaysia dan Persekutuan Renang Malaysia atas usaha serta kerja keras dalam memastikan skuad terjun negara sentiasa memberikan pencapaian terbaik dan mendapat tempat selayaknya secara merit," katanya.

Jun Hoong akan bersaing dalam kategori 10 meter platform wanita -- kategori sama di mana dia memenangi pingat emas dalam Kejohanan Terjun Dunia di Budapest pada 2017.

Dia sebelum ini pernah meraih pingat gangsa bersama Pendelela dalam acara 10 meter platform seirama wanita dalam Sukan Olimpik Rio 2016.