Jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, mengidamkan pentas final Sukan Olimpik Tokyo bermula minggu depan bagi memburu kejayaan terbesarnya sepanjang 16 tahun bergelar atlet kebangsaan.

Jika diamati, ia bukanlah sekadar omong kosong memandangkan Hup Wei pernah membuktikannya ketika menjadi atlet negara pertama layak ke final Kejohanan Olahraga Dunia di Doha pada 2019 dan menamatkan saingan itu di tempat kelapan dengan catatan 2.27 meter.

Di Tokyo, Hup Wei akan bersaing dengan 31 pencabar lain dengan hanya 12 slot diperuntukkan dalam final.

Berdasarkan prestasi semasa, Hup Wei yakin akan melayakkan diri ke peringkat itu seandainya dapat melepasi ketinggian 2.26 meter.

"Apa yang dirancangkan saya dan jurulatih adalah saya perlu melepasi ketinggian 2.26 hingga 2.29 meter sejak lompatan pertama.

"Ketinggian seperti itu sememangnya catatan yang amat sesuai.

"Dalam Sukan Olimpik yang istimewa kali ini, saya fikir ia tidak akan menjadi masalah.

"Cuma saya perlu melakukan yang terbaik di sana. Saya perlu mempunyai disiplin dan penetapan minda yang amat bagus untuk ke sana kerana kejohanan ini adalah Sukan Olimpik, bukan seperti kejohanan lain.

"Sukan Olimpik adalah kejohanan tertinggi dalam dunia sukan," katanya.