Penerjun negara, Syafiq Puteh-Gabriel Gilbert, membutirkan pingat perak menerusi saingan 3 meter papan anjal seirama lelaki dalam saingan Sukan Komanwel Birmingham, sebentar tadi.

Turut beraksi dalam saingan ini, Ooi Tze Liang-Chew Yiwei, cemerlang di terjunan pertama untuk mendahului saingan bersama wakil England, Anthony Harding-Jack Laugher.

Syafiq-Gabriel mempamerkan permulaan dengan terjunan kurang kemas -- namun di terjunan kedua dan ketiga wakil negara itu terus memperkemas aksi menyaksikan pasangan negara mengisi kedudukan untuk posisi pingat perak dan gangsa.

Terdapat peningkatan dipamerkan Syafiq-Gabriel di terjunan kelima namun wakil England, Harding-Laugher memastikan mereka mengumpul mata bagi memastikan kekal di tempat pertama.

Di terjunan terakhir, Syafiq-Gabriel melakukan terjunan mantap untuk memastikan pingat perak sementara Tze Liang-Yiwei terpaksa akur menamatkan saingan di tangga kelima.

Namun seperti dijangka England mengekalkan penguasaan untuk meraih emas menerusi terjunan terakhir.

Sementara itu, dua wakil negara dalam acara 1m papan anjal individu wanita, Kimberly Bong dan Ong Ker Ying perlu memperkemaskan terjunan di final bagi mengurangkan jurang mata dengan penerjun handalan lain terutama penerjun Kanada, Mia Jolie Vallee, yang memimpin dengan 292.20 mata keseluruhan.

Tumpuan yang pada awalnya diberikan kepada Kimberly bagaimanapun menyaksikan Ker Ying tamat di kedudukan lebih iaitu ditangga ke-10.

Penerjun berusia 19 tahun yang menyertai acara sama di Kejohanan Dunia di Budapest Jun lalu berjaya bangkit di terjunan kelima untuk keseluruhan 207.50 mata.

Manakala Kimberly yang pernah membuat penampilan di Gold Coast 2018 dilihat melakukan persembahan baik pada terjunan kedua untuk meraih 52 mata, namun gagal untuk mengekalkan rentak pada baki tiga terjunan dengan merekod 204.75 mata dan berpuas hati selaku penerjun ke-12.