Penerjun negara, Pandelela Rinong, meneruskan kemaraan ke final 10 meter individu saingan Sukan Komanwel Birmingham, sebentar tadi.

Pusingan kelayakan 10m platform wanita menyaksikan ratu terjun negara, Pandelela, diberikan gambaran sebenar tentang cabaran yang menantinya di pentas akhir.

Pandelela mengesahkan kemaraan dengan menamatkan saingan di kedudukan ketujuh selepas mengumpul 283.50 mata, ketinggalan 77.10 mata berbanding penerjun 17 tahun dari England, Andrea Spendolini Siriex.

Pandelela yang bermula sebagai penerjun ke-11 memilih rutin forward 3 1/2 somersaults untuk terjunan pertama yang hanya menyaksikan dia meraih 55.50 mata.

Selepas gagal memukau para juri, Pandelela kembali di terjunan kedua yang menarik dengan back 2 1/2 somersaults untuk 69.60 mata dan menempatkan diri selaku empat terbaik.

Konsistensi penerjun tuan rumah yang juga pemenang pingat emas Grand Prix FINA 2020, terus membolehkannya memimpin kedudukan menerusi kutipan tertinggi 81.60 mata di terjunan ketiga, menyaksikan Pandelela turut memilih armstand back double somersaults 1 1/2 namun hanya memperoleh 60.80 mata.

Mungkin sedikit tertekan, terjunan keempat lela dengan inward 3 1/2 tidak sempurna dan merekod mata terendah 43.20 mata menyaksikan dia jatuh ke kedudukan ketujuh.

Manakala terjunan kelima dengan satu lagi darjah kesukaran 3.2 memberi Pandelela tambahan 54.40 mata, sekaligus menamatkan saingan kelayakan di tangga ketujuh dari 12 penerjun yang berjaya meloloskan diri ke final dalam jam 2.30 pagi.