Atlet gimrama negara, Izzah Amzan dan Ng Joe Ee, menamatkan acara seluruhan di tempat keempat dan kelima saingan Sukan Komanwel Birmingham, sebentar tadi.

Bersaing dengan 14 pesaing, Izzah dan Joe memulakan saingan dengan apparatus gelung di mana Izzah memperoleh 26.100 mata sementara Joe Ee meraih 26.700 mata.

Mereka memperkemaskan lagi kumpulan mata menerusi apparatus bola apabila masing-masing meraih 27.600 dan 27.700 mata.

28.200 mata menerusi apparatus belantan meletakkan Izzah dalam kedudukan yang baik sementara Joe Ee kekal mengekori rapat dengan 26.700 mata.

Ketika ramai pesaing yang kerap melakukan kesilapan ketika melakukan rutin reben, Izzah dan Joe Ee berusaha untuk memungut mata dengan persembahan yang cukup bertenaga -- dengan masing-masing meraih 26.400 dan 27.100 mata sekaligus meletakkan mereka di kedudukan kedua dan ketiga.

Namun aksi yang konsisten sepanjang saingan yang dipamerkan oleh wakil England (Marfa Efimova), Cyprus (Anna Sokolova) dan Australia (Alexandra Kiroi-Bogatyreva) memintas di saat akhir untuk melengkapkan podium sekaligus menyaksikan wakil negara menamatkan saingan di tempat keempat dan kelima.