Sukan Komanwel: Auni tidak rela terus kempunan

Penulis Jemputan
Januari 20, 2018 12:31 MYT
Setelah gagal ke Sukan Komanwel Glasgow 2014, Auni Fathiah Kamis dilanda kebimbangan dia mungkin terlepas sekali lagi peluang untuk melakukan penampilan sulung di pentas Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, April depan.
Pengalaman tidak terpilih empat tahun lalu mematangkan atlet boling padang itu untuk bekerja lebih keras memburu slot ke Gold Coast.
Pingat emas Sukan SEA 2017 dalam acara berpasangan selain berada dalam Program Podium belum cukup memberi sebarang jaminan buat Auni merebut lima slot ditawarkan.
Justeru, dia tidak rela melakukan kesilapan dalam empat perlawanan ujian di Gold Coast awal bulan depan yang menjadi medan penilaian terakhir pemilihan.
"Kalau tidak dapat, kecewa jugalah kerana itu yang diimpikan. Saya pernah beraksi dalam Sukan Komanwel, mestilah saya ingin beraksi lagi.
"Kalau ada rezeki, saya pasti akan membuat lebih baik lagi. Saingan juga sengit, saya akan teruskan usaha," katanya.
Berbeza dengan pemain lelaki, Fairus Abdul Jabal, dia berharap pengalaman beraksi sekian lama dalam acara trio dan berpasukan selama ini mampu membantunya disenaraikan sekali lagi.
Tambahan pula, dia melihat persiapan skuad kali ini jauh lebih ke depan meskipun kekecewaan tersingkir di peringkat kumpulan semasa di Glasgow masih berbekas.
"Kekecewaan itu masih lagi terasa, namun ia tidak menjatuhkan semangat saya dalam edisi kali ini.
"Saya pernah bermain dalam acara individu dan biarpun diletakkan dalam acara berpasukan, saya tidak kisah untuk menawarkan bantuan," kata Fairus.