Selepas 10 hari berkurung, skuad boling tenpin negara kembali berlatih.

Skuad negara sebelum ini dikejutkan dengan kes positif COVID-19 dalam kalangan pemain pelapis.

Selesai menjalani arahan berkurung, 34 pemain dan lima jurulatih sudah dibenarkan untuk berlatih di Sunway Mega Lanes, hari ini, susulan kesemua ujian saringan mengesahkan mereka negatif.

"Oleh kerana sesi latihan tidak menentu, ia mengakibatkan jari kami kembang dan sakit.

"Buat masa ini kami masih menunggu pengesahan kejohanan," kata pemain lelaki kebangsaan, Timmy Tan.





Pemain senior berlatih tanpa sebarang perancangan menyertai kejohanan dengan tugasan ke Sukan SEA Hanoi, hujung tahun ini, diserahkan kepada skuad pelapis.

Sementara itu, pemain wanita negara, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, mahu menggunakan kesempatan ini untuk mengembalikan rentak balingannya.

"Sudah dua minggu kami cuba pakai pelitup muka ketika berlatih, kini dah terbiasa.

"Saya gunakan masa ini untuk tingkatkan permainan memandangkan jadual latihan kami tidak menentu.

"Saya perlu pertolongan jurulatih untuk menegur tabiat dalam permainan, kadang-kadang saya sendiri tidak perasan."