Siri persahabatan: Malaysia kekal buntu tundukkan India

Penulis Jemputan
April 8, 2019 14:02 MYT
MALAYSIA 4 INDIA 4
Skuad hoki wanita negara gagal meraih kemanangan pertama dalam siri perlawanan persahabatan dengan India apabila terikat 4-4 dalam aksi ketiga di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.
Malaysia tewas 0-3 dalam aksi pertama, Khamis lalu, sebelum dibelasah 0-5 dalam aksi kedua, kelmarin.
Bagaimanapun, skuad kendalian Muhammad Dhaarma Raj Abdullah itu bangkit dalam perlawanan ketiga untuk mengikat India 4-4.
India di depan dalam suku pertama menerusi gol padang Navjot Kaur pada minit ke-13.
Mereka meneruskan momentum itu dengan Navneet Kaur menjaringkan gol kedua pelawat hasil pukulan penalti pada minit ke-22.
Kirandeep Kaur merapatkan jurang buat Malaysia pada minit ke-26 sebelum Nuraini Rashid mengikat kedudukan menjelang waktu rehat.
Malaysia berada di depan dalam separuh masa kedua apabila Nuramirah Zulkifli dan Nuraini menyempurnakan pukulan sudut penalti masing-masing pada minit ke-35 dan ke-38.
Bagaimanapun, India bangkit untuk mengimbangi perlawanan menerusi jaringan kedua peribadi Naneet pada minit ke-45 sebelum Lalremsiami melengkapkan keputusan perlawanan.
Kedua-dua pasukan akan kembali berentap dalam aksi keempat di venue sama, Rabu ini.