WALES 1 MALAYSIA 3

Anak buah Arul Selvaraj melakar satu lagi kemenangan dalam Siri Jelajah United Kingdom (UK) skuad hoki senior lelaki apabila kali ini menunduk Wales 3-1, awal pagi tadi.


Ia kemenangan kedua berturut-turut ke atas pasukan yang menghuni ranking ke-17 dunia itu, lantas menjadi satu keputusan yang jelas menggembirakan ketua jurulatih negara berkenaan.

"Satu kemenangan yang agak bagus dan lebih manis lagi sebab kami perlu melakukan tiga jam perjalanan.

"Kami juga bermain dalam cuaca yang sejuk dan hujan. Inilah tujuan penting kami datang ke Eropah sebab kami mahu pemain bersedia dengan keadaan di bawah tekanan dalam usaha mendapatkan kemenangan," kata jurulatih itu.




Kejayaan itu turut menjadi detik istimewa buat pemain muda negara, Muhammad Shafiq Hassan, yang meraih membuat sulungnya bersama skuad senior negara.

"Kemenangan hari ini memberi semangat kepada saya untuk beraksi dalam skuad hoki kebangsaan," kata pertahanan itu.

Dalam empat pertemuan ujian lalu, Malaysia mencatat tiga kemenangan serta satu kekalahan ketika berdepan Ireland.

Selepas ini, The Malaysian Tigers akan meneruskan baki aksi persahabatan menentang Perancis.

Sementara itu, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, optimis skuad negara mampu kekal sebagai 10 pasukan terbaik dunia sekurang-kurangnya hingga hujung tahun ini.

Untuk rekod, kali terakhir pasukan negara menghuni ranking 10 terbaik dunia ialah pada 2003.

"Kali terakhir kami menduduki tangga ke-10 dunia ialah pada 18 tahun lalu.

"Kami yakin akan kekal di tangga ke-10 dunia menjelang hujung tahun ini, mungkin lebih tinggi lagi apabila perlu mengejar kedudukan Sepanyol yang sedang mendahului kami kurang daripada 10 mata," katanya dalam sidang media di Bukit Jalil, hari ini.