Pelbagai usaha dilakukan untuk menaikkan semula semangat atlet negara dalam keadaan negara masih lagi berjuang dengan COVID-19.

Persatuan Boling Padang Malaysia (PLBM) membawa tema "Harry Potter" ketika melangsungkan kejohanan simulasi berpasukan campuran yang bermula di Kompleks Sukan Negara Bukit Kiara hari ini.

Ia dianggap satu perkara unik apabila kejohanan kali ini menyaksikan atlet dibahagikan kepada empat pasukan dengan nama pasukan bukanlah dilabel Kumpulan A, B, C atau D mahu pun nombor, sebaliknya bersempena dengan sistem rumah Hogwarts seperti yang terdapat dalam filem itu.

"Ini satu sukan yang sedang meningkat naik terutama di perkenalkan di peringkat bawah 12 tahun.

"Kami telah mencadangkan dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN).

"Ia seharusnya boleh menarik orang muda kerana sukan ini dahulunya dikenali untuk orang-orang tua.

"Kami mahu menarik golongan muda dan anak-anak kecil," kata ketua jurulatih boling padang negara, Zuraidi Puteh, kepada wartawan Nadi Arena, Adam Zamri.

Dalam acara perseorangan hari ini. Siti Zalina Ahmad, yang mewakili pasukan Ravenclaw tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan lawan, Muhammad Saoufi Rusli, daripada pasukan Hufflepuff 21-15.

"Saya berpuas hati.

"Saya bermain dengan agak tekal dan banyak lontaran yang baik pada hari ini walaupun saya sebenarnya kurang berlatih.

"Sebelum ini saya beri tumpuan kepada pemulihan dan fisioterapi," katanya yang mendahului acara perseorangan selepas meraih empat mata hasil kemenangan dalam kedua-dua aksi.

Sementara itu, Emma Firyana Saroji, yang beraksi untuk pasukan Slytherin pula tenang untuk melakar kemenangan ke atas Nuralyani Jamil 21-17 sekali gus memimpon carta acara fours.