Siasatan dalaman mengenai insiden pembatalan penyertaan Ziyad Zolkefli dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020 pada Ogos lalu mendapati jaguh lontar peluru para negara itu gagal membuktikan bahawa dia berada di 'call room' (bilik pemeriksaan) pada waktu yang sepatutnya.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS), dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, mengesahkan hasil laporan Jawatankuasa Siasatan Dalaman itu, yang diserahkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

"Walaupun terpaksa menerima keputusan yang dibuat oleh Olahraga Para Dunia (WPA) bagi isu Ziyad, pihak Persatuan Olahraga Para Malaysia dan Majlis Sukan Negara (MSN) akan tetap mengemukakan pandangan Malaysia ekoran kekeliruan peraturan teknikal para olahraga, khususnya mengenai peraturan ‘Did Not Start’ (DNS) yang dikenakan kepada atlet para olahraga," kata Ahmad Faizal dalam kenyataan itu.

"Seperti kita sedia maklum, pegawai teknikal menegaskan Ziyad dan dua atlet lain iaitu dari Australia dan Ecuador melewati tempoh masa melaporkan diri tetapi masih dibenarkan beraksi."

Ahmad Faizal turut menegaskan bahawa pihak kementeriannya memandang serius perkara itu dan akan mengambil tindakan susulan terhadap atlet, jurulatih dan pegawai bagi tujuan kesedaran bagi masa akan datang.

"KBS juga akan memastikan tindakan susulan yang wajar diambil oleh atlet, jurulatih dan juga pegawai khususnya bagi tujuan kesedaran, pengajaran, penambahbaikan dan rujukan agar perkara seperti ini tidak berulang lagi.

“Meskipun begitu, lontaran yang dibuat oleh Ziyad dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020 akan dihargai,” tambahnya.