Shahrukh lakar kejutan di Sunway Mega Lanes

Penulis Jemputan
Disember 10, 2017 09:49 MYT
Atlet boling tenpin remaja negara, Shahrukh Amin Zulkifli, melakar kejutan apabila muncul juara dalam Kejohanan Boling Tenpin Masters 2017 di Sunway Mega Lanes, Sunway Pyramid, hari ini.
Selepas kejayaan skuad boling tenpin wanita negara meraih emas dalam Kejohanan Boling Tenpin Dunia di Las Vegas, pemain muda negara, Shahrukh, mempamerkan persembahan berkualiti berdepan pencabar-pencabar yang jauh lebih berpengalaman.
Atlet berusia 17 tahun ini bermula sedikit perlahan dengan menduduki tangga kelapan pada pusingan awal sebelum merekodkan jatuhan pin tertinggi bagi saingan stepladder untuk merebut slot ke final.
Menantinya dalam aksi final itu ialah pemain penuh berpengalaman dari Korea Selatan, Jeong Tae-Hwa.
Tiada perasaan gementar buat Shahrukh apabila atlet kelahiran Pahang itu merekodkan 220 jatuhan pin, lebih 10 pin daripada yang dilakukan oleh Jae-Hwa untuk muncul juara.
Gelaran masters ini adalah kejuaraan kedua buat Shahrukh selepas memenangi Grand Prix Kebangsaan, Februari lalu.